Ariq

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Amir

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Kisah hidup seorang mak nyah "Atuk"

Posted on Rabu, April 13, 2011 by sYaFiQa


KUALA LUMPUR, (Bernama) - Jika setakat wajah, susuk tubuh dan penampilan pada hari wawancara ini dibuat, insan ini mungkin tidaklah seperti yang dikatakannya.
Kalau ada pun mungkin sedikit getar serta lenggok suaranya senada pengakuan yang dibuat.
Tanpa segan, tanpa silu, Roslan Hamzah, 52, atau lebih senang dikenali sebagai 'Atuk' membuat pengakuan dia adalah seorang mak nyah.
Mak nyah atau pondan, dua istilah penuh kontroversi yang sering dikaitkan dengan lelaki yang berwatak lembut dan gemar memakai pakaian wanita.
"Sekarang pun masih mak nyah walaupun fizikal atuk sudah berubah," katanya kepada penulis dalam satu wawancara yang tidak dirancang. Penulis ketika itu membuat liputan satu persidangan mengenai epidemik HIV dan 'Atuk' adalah seorang daripada peserta persidangan tersebut.
'Atuk' ternyata begitu lantang melontarkan pandangannya mengenai isu yang dibincangkan sehingga ada ketika bertukar menjadi debat panas yang menghangatkan ruang dewan yang berhawa dingin.


MACAM PONDAN


Berasal dari Kajang, Selangor 'atuk' berkata dia dilahirkan normal sebagai seorang lelaki, yang aktif bersukan hingga pernah mewakili sekolah di peringkat negeri Melaka dalam acara lari pecut.
Cuma apabila prestasinya merosot kata-kata yang tidak enak mula singgah di cuping telinganya.
"Roslan mengapa awak berlari macam pondan! Roslan awak dah berlari macam pondan!"
Menurut 'atuk' kata-kata yang menyentap perasaannya itu dihamburkan oleh gurunya ketika dia di bangku sebuah sekolah rendah di Melaka.
"Siapa yang melihat realiti diri atuk? Guru atuk sendiri," katanya dan menambah bahawa ketika itu dia tinggal bersama ayah dan emak tiri.


KISAH HITAM


Mengaku dirinya seorang yang lembut, atuk berkata hidupnya mula tertekan apabila menjadi bahan ejekan pelajar dan menjadi mangsa serangan seksual ketika dalam tingkatan satu.
'Penyerang' atuk boleh diibaratkan menepati pepatah Melayu 'harapkan pagar, pagar makan padi' kerana dia bekerja dengan ayah atuk seorang pegawai tentera. Lelaki itu ditugaskan untuk mengambil anak tentera pulang dari sekolah.
"Atuk ada latihan sukan hari itu dan bila selesai, budak yang lain semua dah balik. Pemandu trak itu mengugut akan meninggalkan atuk dalam ladang getah jika atuk tak ikut kehendaknya.
"Dia adalah lelaki pertama yang merosakkan atuk dan memperkenalkan atuk dengan seks," ceritanya lagi.
Selepas diliwat, dia diugut supaya tidak menceritakan kepada sesiapa pun apa yang telah berlaku ke atasnya.
Atuk tidak berdiam diri, sebaliknya menceritakan kisah hitam itu kepada ayah hingga membawa kepada bertukar sekolah dan tinggal di Petaling Jaya bersama emak.
Cuma atuk tidak dapat bertahan lama di sekolah baru kerana diejek berikutan penampilan lembut hingga tiada kawan lelaki sebaliknya budak perempuan.
"Atuk menjadi semakin tertekan. Macam mana nak belajar kalau setiap hari diejek.
"Lagi pun atuk terpaksa berpindah dan dipisahkan dari ayah dan emak tiri atuk. Setiap kali bertengkar dengan emak atuk akan minta pulangkan kepada emak tiri.
"Memang emak tiri garang tapi dia bela atuk dari kecil sebelum atuk bersekolah lagi," cerita atuk.


MANGSA KEADAAN?


Dalam usia yang boleh dikatakan masih mentah ternyata atuk melalui pelbagai tekanan.  
Bukan sahaja dibelenggu isu dengan keluarga dan isu diejek di sekolah, nalurinya terhadap lelaki turut melonjak terutama selepas menjadi mangsa serangan seksual.
Jalan penyelesaiannya? Lari dari rumah. Itulah yang atuk lakukan. Bergelandangan di sekitar kawasan yang menjadi tempat tumpuan anak remaja.
Masa itu atuk berminat main kasut roda dan banyak menghabiskan masa bermain kasut roda.
Atuk juga mengaku dia ada juga terlibat melakukan aksi seksual dengan kawan-kawan yang bergelandangan.
"Kadang kala secara suka sama suka dan ada juga yang dipaksa," demikian pengakuan atuk kepada Bernama.
Menurut atuk, emak kandung ada mencarinya tetapi pertemuan mereka sering berakhir dengan pertengkaran.
Atuk juga berkenalan dengan seorang perempuan Melayu yang bekerja di bar di kawasan dia melepak.
"Umur atuk masa itu sekitar 15 tahun. Atuk kenal satu perempuan di PJ. Dia tengok atuk lembut dan bawa atuk balik ke rumahnya.
"Perempuan itu bagi atuk duit, ajar atuk ambil hormon dan atuk mula simpan rambut panjang. Dia juga ajak atuk kerja di bar di mana dia bekerja. Atuk berpakaian seperti seorang wanita.
"Masa itu ayah sudah meninggal dunia dan hubungan atuk dengan emak kandung terputus langsung. Memang emak ada cari atuk tetapi atuk pilih jalan hidup sendiri.
"Bagi atuk, atuk adalah mangsa keadaan. Jadi prinsip atuk di mana ada kebahagian di situ atuk cari. Usia atuk masa tu masih muda, bila dapat kerja di pub itu satu kebahagiaan buat atuk. Atuk juga mula mengenali Lorong Haji Taib," atuk menyambung kisahnya.


SEMAKIN TERSASAR


Melalui seorang mak nyah yang kerap berkunjung ke bar di mana atuk bekerja, atuk mula berjinak-jinak menyusuri kelam Lorong Haji Taib, lorong yang tersohor dengan kegiatan memperdagangkan tubuh.
Mak nyah itu menyakinkan atuk di lorong tersebut dia akan dapat berjumpa "kawan-kawan kita".
"Pergi sekali atuk rasa seronok. Mengapa? Atuk dijaga dengan baik. Masa itu atuk tak terfikir langsung dipergunakan dan mak nyah itu ialah ibu ayam.
"Baru sekarang atuk terfikir. Ini bila kita meningkat dewasa dan sudah faham erti kehidupan," demikian pengakuan atuk seterusnya.
Bukan sahaja memperdagangkan diri, atuk juga terjebak dengan penggunaan dadah.
"Atuk tak merokok dan tak minum arak tapi mula menagih heroin apabila teman lelaki meninggalkan atuk untuk berkahwin," sambung atuk.
Menurut atuk, bermula dengan menjadi pelanggan, lelaki itu akhirnya menjadi teman yang sering membawa dia keluar menonton wayang.
"Ini adalah realiti kehidupan, bukan atuk sengaja membuka pekung di dada. Sedikit demi sedikit datang perasaan cinta dan sayang. Kami tinggal bersama selama sembilan tahun," cerita atuk tanpa mendedahkan nama bekas teman lelakinya.
Bisnes memperdagangkan tubuhnya bukan sahaja di sekitar Kuala Lumpur tetapi kemudian menjalar merentas Tambak Johor ke pulau republik Singapura.
"Ramai customer, nak sikat rambut pun tak sempat. Terlampau banyak sangat duit, sampai komot simpan bawah kain. Balik ke Kuala Lumpur gosok dengan seterika.
"Satu malam boleh dapat antara 30 hingga 40 pelanggan terutamanya hujung minggu. Satu pelanggan boleh dapat 50 dolar," kata atuk dengan berkata dia terjebak dalam lembah pelacuran selama hampir 20 tahun.


DETIK PERUBAHAN


Hidup atuk yang semakin terumbang-ambing menjadi lebih getir apabila disahkan positif HIV. Dia juga keluar masuk penjara kerana terlibat dengan penggunaan dadah.
Sedikit demi sedikit rasa insaf mula dirasai dan kesalnya membuak apabila emak kandungnya kembali ke rahmatullah.
Atuk mendapat tahu emak meninggal dunia apabila kakak sulung atuk datang melawatnya di penjara Pudu. Atuk kena penjara 40 bulan, empat sebatan dan setahun diletakkan di bawah pengawasan atas kesalahan dadah.
Menurut atuk dia ada sesekali berjumpa dengan emaknya tetapi tiada kemesraan anak dengan emak kerana penglibatannya dengan dadah.
Pertama kali ditahan di penjara kerana dadah, emaknya meletakkan harapan tinggi atuk akan berubah.
Jauh daripada berubah, atuk terus terjebak dengan dadah sehingga dipenjara kali keempat. Bila kakak sulung datang melawat di penjara dan memberitahu emak  sudah tiada, perasaan atuk menjadi begitu tertekan.
Bagaimanapun atuk bersyukur kerana sempat berjumpa dan memohon ampun daripada emak.
Masih terngiang-ngiang di telinganya suara emak berkata "emak ampunkan kau lan."
"Ketika itu hari raya dan sememangnya atuk meminta ampun daripada emak dengan hati yang penuh kerelaan.
"Atuk cuma terkilan kerana emak tidak sempat melihat perubahan yang berlaku dalam hidup atuk, kerja-kerja kemasyarakatan yang atuk lakukan," demikian luahan hati atuk.


LEMBARAN BARU


Ujian paling getir bagi atuk ialah apabila disahkan positif HIV kira-kira 17 tahun lepas.
Pada mulanya memang berat untuk menerima hakikat yang atuk kini bertarung dengan penyakit yang masih belum ada penawarnya akibat berkongsi jarum untuk mengambil dadah.
Menurut atuk lapan hari dia merintih, menangisi nasibnya sehingga pada suatu hari dia melihat wajahnya di cermin.
"Atuk bertanya kepada diri atuk sama ada mahu terus meratap atau bangkit dan melakukan sesuatu. Apakah atuk hendak terus pandang ke depan untuk tidak melihat apa yang berlaku di belakang?
"Daripada detik itu atuk bertekad untuk keluar daripada kehidupan kelam atuk. Masa itu diskriminasi terhadap kumpulan mak nyah memang kuat dan jika tak ada kekuatan sukar untuk menghadapinya.
"Begitu juga dengan penghidap HIV. Atuk pernah diusir dari bilik sewa, duit tak ada, ingatkan dapat simpati," jelas atuk.
Atuk tidak bersendirian dalam langkahnya untuk menjejak keinsafan. Dia mendapat sokongan kawan bernama 'Amy' dan program mak nyah PT Foundation, pertubuhan berasas komuniti terbesar yang memberi khidmat kepada golongan yang dikatakan berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV di Kuala Lumpur.  
Ranjau sepanjang hidupnya kini menjadi bekalan ilmu untuk membantu mereka yang tersasar dan senasib dengan dirinya.
Setelah bersama PT Foundation selama 16 tahun, atuk kini menyertai Persatuan Cahaya Harapan Negeri Kedah (Kuala Muda) untuk mencurah khidmat bakti dalam kerja-kerja kemasyarakatan.
"Di Kuala Lumpur sudah banyak NGO dan atuk juga mempunyai ramai kawan di Kedah yang hidup dengan HIV.
"Fokus Cahaya Harapan ialah program pertukaran jarum suntikan tanpa meminggirkan kumpulan lain yang memerlukan bantuan," kata atuk.

3 Responses to "Kisah hidup seorang mak nyah "Atuk"":

Zuwairi Aiman says:

Salam kunjungan... singgah la ke blog saya ;)

sYaFiQa says:

Salam...sudah singgah. tq

mommylavender says:

dah baca kisah `atuk` ni...kesian kan, tu la kadang kala...kate2 cam tu boleh mmbinasakan keseluruhan mase depan...

Penaja Bersama.....