Ariq

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Amir

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

ISU PENGGUNAAN GELATIN BABI DALAM UBAT-UBATAN

Posted on Rabu, Jun 08, 2011 by sYaFiQa

Salam....dipetik dr http://www.rahsiaubatbabi.com/

ISU PENGGUNAAN GELATIN BABI DALAM UBAT-UBATAN

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-8 pada 24 September

1984 berpandangan bahawa penggunaan gelatin dalam ubat pada masa

sekarang (1984) adalah diharuskan kerana darurat. Sekiranya telah

ada bahan halal yang dapat menahan ubat dari cepat rosak, maka

penggunaan gelatin dalam ubat tidaklah lagi diharuskan.



Fatwa ini tidak menjelaskan secara spesifik jenis gelatin yang

dimaksudkan, oleh itu saya membuat kesimpulan bahawa gelatin yang

dimaksudkan didalam fatwa ini ialah gelatin yang dihasilkan

daripada sumber haram sama ada babi ataupun haiwan yang tidak

disembelih secara Islam. Tetapi, selepas 26 tahun fatwa ini

dikeluarkan, adakah penggunaan gelatin dari bahan haram masih lagi

diharuskan? atau penggunaan gelatin dari bahan haram tidak lagi

diharuskan pada masa sekarang kerana telah terdapat bekalan gelatin

halal yang dihasil daripada sayuran ataupun haiwan yang disembelih

mengikut kaedah Islam.



Meskipun ramai umat Islam terutamanya dari negara-negara asia yang

majoriti rakyatnya beragama Islam berpegang kepada pendapat bahawa

gelatin daripada babi ataupun haiwan yang tidak disembelih mengikut

Islam adalah haram, namun terdapat sebahagian ulama yang

berpandangan sebaliknya. Mereka berpandangan bahawa gelatin yang

terhasil daripada transformasi tulang, kulit dan tendon (otot)

haiwan yang diharamkan adalah suci dan diharuskan memakannya.

Transformasi ini ataupun disebut sebagai istihala di dalam bahasa

arab bermaksud perubahan sesuatu bahan kepada bahan yang lain dan

mempunyai ciri ciri yang berbeza, perubahan bahan-bahan yang

asalnya tidak suci menjadi suci, dan perubahan sesuatu bahan yang

diharamkan kepada halal.



Perkara ini telah diputuskan semasa 'Seminar Bahan Haram di dalam

Ubat dan Makanan' yang dianjurkan oleh Pertubuhan Sains Perubatan

Islam di Kuwait pada tahun 1995. Seminar ini telah dihadiri oleh

112 ulama dan pakar dari beberapa negara di antaranya Sheikh Dr

Mohammad Sayed Tantawai (Mufti Mesir), Sheikh Mohammad Al Mokhtar

Al Salami (Mufti Tunisia), Sheikh Mohammad Ben Hammad Al Khalily

(Mufti Oman) dan Dr. Youssef Al Qardawy, Pengarah Pusat Kajian

Sunnah dan Cara Hidup Nabi di Qatar pada masa itu.

Pandangan ini telah melegakan ramai umat Islam yang sebelum ini

merasa berdosa, bersalah atau tidak tenteram apabila mengambil ubat

dalam bentuk kapsul gelatin.



Walaubagaimanapun, Dr Su'aad Salih, Professor Fekah di Universiti

Al-Azhar mengeluarkan fatwa bahawa :



"Gelatin adalah bahan kasar yang dihasilkan dengan mendidihkan

tulang, kulit dan tisu haiwan. Oleh itu, ia bergantung kepada jenis

haiwan tersebut. Jika haiwan tersebut dagingnya halal dimakan

seperti lembu, unta, kambing dan lain-lain, makan gelatinnya adalah

halal, dan begitu juga dengan makanan yang mengandunginya.

Bagaimanapun, jika haiwan tersebut dagingnya haram dimakan seperti

babi, maka gelatin yang dihasilkan daripadanya adalah haram".



Oleh itu, gelatin adalah halal kecuali ia dihasilkan daripada

binatang yang dagingnya haram dimakan. Hukum ini digunapakai untuk

gelatin yang dihasilkan daripada haiwan. Gelatin yang dihasilkan

daripada sayuran ataupun sintetik adalah halal dan boleh dimakan

atau digunakan.



Mengenai gelatin yang dihasilkan daripada haiwan yang tidak

disembelih mengikut syariat Islam, Sheikh Abdus Sattar F. Saeed,

Profesor Tafsir Qur'an di Universiti Al-Azhar memberikan fatwa

berikut:



"Jika haiwan itu disembelih oleh salah seorang Ahli Kitab, ataupun

penyembelihnya tidak diketahui, daging dan gelatinnya adalah halal.

Bagaimanapun, jika haiwan itu disembelih dengan kaedah kejutan

elektrik, dilemaskan, atau dengan cara lain yang tidak dibenarkan,

maka dagingnya adalah haram dan gelatinnya pun haram kerana ia

adalah hasil daripada haiwan yang haram"



Dengan peningkatan kesedaran dan sensitiviti umat Islam tentang

status halal gelatin yang terkandung di dalam ubat, Kementerian

Kesihatan Malaysia menerusi Biro Pengawalan Farmaseutikal

Kebangsaan (BPFK) telah mengarahkan syarikat syarikat farmaseutikal

yang bertanggungjawab untuk mengisytiharkan dan menyatakan pada

label ubat mereka jenis gelatin ataupun sumber haiwan yang

digunakan.



Pada November 2009, satu kajian hasil usahasama Universiti Sains

Malaysia (USM) dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan yang

diketuai oleh Prof. Madya Dr. Gam Lay Harn mendapati 30% daripada

100 kapsul ubat yang diuji mengandungi gelatin dari babi ataupun

campuran gelatin lembu dan babi.



Menurut Dekan Pusat Pengajian Farmasi USM, Prof Madya Dr Syed Azhar

Syed Sulaiman " Gelatin dari khinzir (babi) digunakan kerana ia

lebih murah daripada gelatin lembu. Bagaimana pun ini bukanlah

menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana

ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka

gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan

perkara berkenaan".



Walau bagaimanapun, sehingga kini belum ada senarai ubat-ubatan

yang mengandungi gelatin babi yang dikeluarkan secara rasmi sama

ada dari pihak universiti, Kementerian Kesihatan Malaysia,

Indonesia mahupun Brunei. Ini mungkin kerana, kaedah pengesanan

gelatin ataupun sumber haiwan di dalam ubat masih dalam peringkat

penyelidikan dan pembangunan, serta ujian pengesahan seterusnya

perlu dilakukan.



Kemudian pada April 2010, umat Islam di Malaysia telah dikejutkan

lagi dengan pendedahan oleh Datuk Mohd Hanafiah Omar yang tidak

berpuas hati apabila menerima ubat Imodium (Loperamide) dalam

bentuk kapsul dari sebuah hospital swasta tanpa memaklumkan ia

mengandungi gelatin babi. Lantaran itu, BPFK telah mengarahkan

syarikat pemegang pendaftaran ubat cirit birit Kapsul Imodium yang

disahkan mengandungi unsur babi supaya menarik balik produk itu

dari pasaran.



Realitinya, ramai umat Islam di Malaysia yang masih keliru dengan

penjualan ubat-ubatan yang mengandungi unsur babi. Ubat-ubatan yang

mengandungi gelatin babi adalah haram di sisi Islam tetapi

penjualannya adalah dibenarkan di Malaysia jika ia menepati

syarat-syarat pendaftaran yang ditetapkan terutama dari segi

kualiti, selamat dan label produk yang menyatakan jenis sumber

haiwan yang digunakan. Ini membolehkan mereka yang bukan beragama

Islam menggunakannya ataupun boleh digunakan oleh umat Islam dalam

keadaan yang memenuhi syarat-syarat darurat. Inilah yang seharusnya

difahami oleh kebanyakan masyarakat di Malaysia.



Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pengamal perubatan untuk

memaklumkan kepada pesakit sekiranya ubat yang diberikan

mengandungi sumber babi, dan menjadi tanggungjawab pesakit pula

untuk meneliti dan membaca label kandungan ubat-ubatan yang mereka

ambil.



Artikel di atas dipetik daripada Bab 12 Fatwa-Fatwa Perubatan yang

terkandung di dalam buku Ubat Daripada Sumber Babi dan Pilihan

Alternatif.

==================================================================



Semoga sedikit info ini dapat membantu Syafiqa dan

berjumpa lagi di email akan datang.





Terima Kasih

Abd Rahman Baco

Penulis

Ubat Daripada Sumber Babi

& Pilihan Alternatif

http://www.rahsiaubatbabi.com

0 Responses to "ISU PENGGUNAAN GELATIN BABI DALAM UBAT-UBATAN":

Penaja Bersama.....